search

Abadinya Sebuah Cinta..

Abadinya Sebuah Cinta


Helaian demi helaian album biru muda diselak oleh Fatin Yusrina. Ditatapnya satu demi satu wajah insan-insan yang disayanginya. Mama, abah dan adik-adik. Matanya beralih pula pada wajah teman-teman seperjuangan yang sentiasa di sisi menemani. Lyn, Ayu, Nadia dan Alia. Dia menyelak lagi helaian setebal dua inci tersebut. Kenangan bersama mereka di bangku sekolah masih mekar hingga ke hari ini. Semangat setiakawan yang tersemai sejak bertahun dulu masih kukuh. Nita, Sham dan Shah antara teman-teman yang paling setia walaupun hari ini masing-masing terpisah oleh kesibukan demi mengejar sebuah cita-cita dan merealisasikan sebuah impian.

Air muka Fatin tiba-tiba berubah apabila matanya terpandang pada seraut wajah yang sering menghantui hidupnya. Seraut wajah milik insan yang dicintai sepenuh hati dan paling istimewa di dalam hidupnya. Album itu ditutup dan disimpan kembali ke tempat asalnya.

Fatin bangun dan melihat ke luar. Pandangannya dilempar jauh ke awan biru menyaksikan burung-burung yang bebas berterbangan. Hatinya tiba-tiba menjadi sayu mengenangkan perubahan yang berlaku dalam diri Amirul. Fatin mengeluh perlahan. Entah mengapa dirasakan Amirul semakin jauh dari dirinya. Kasih Amirul seakan berubah. Tiada lagi warna-warna cinta di dalam hidupnya. Walaupun Amirul cuba berlagak seperti biasa namun jauh di sudut hati Fatin terasa kepincangannya. Tika ini Fatin rasakan dialah di antara pelakon terhebat. Lamunannya tiba-tiba terhenti apabila bahunya ditepuk lembut. Fatin menoleh. Kelihatan Alia tersenyum di depannya.

"Fatin, kau menangis lagi?" soal Alia yang seakan mengerti apa yang Fatin rasakan. Fatin hanya tersenyum pahit.

"Sudahlah tu, usah dikenangkan sangat masalah tu. Pasti ada penyelesaiannya nanti. Bersabarlah.." pujuk Alia.

Perbualan mereka terganggu apabila Ayu yang baru pulang dari berjogging tercungap-cungap berlari ke arah mereka.

"Haa..kenapa pulak ni Ayu?" soal Fatin hairan.

"Aku...aku..." Ayu tergagap-gagap.

"Eh..apasal nie?" soal Alia cemas.

"Tak ada apa-apa.. saja jer.. aku laparlah.." balas Ayu sambil ketawa kecil.

"Laa..ingatkan kot kena kejar anjing," balas Alia. Nadia dan Lyn yang mengekori di belakang Ayu pun turut meyampuk.

"Bukan apa, aku rasa Ayu tu dah tak sabar nak jumpa mamak perut buncit kat gerai tu.." usik Lyn.

"Hm..patutlah lari macam lipas kudung..rindu kat mamak tu rupanya.." usik Fatin pula. Mereka akhirnya tertawa melihat muka Ayu yang macam susu basi bila disakat teman-teman. Terlupa sebentar pada masalah yang ditanggung Fatin. Mereka kemudiannya bersiap untuk keluar makan.


* * * * *
Jari jemari Fatin masih lagi ligat menulis di diari kesayangan yang banyak menyimpan rahsia perjalanan hidupnya. Selain teman-teman, diari biru berbunga putih itu jugalah tempatnya meluahkan perasaan dan mengadu. Patah demi patah ditulis menjadi barisan ayat dan satu demi satu helaian dicoret bagi meluahkan segala yang tersimpan kemas di sudut hatinya. Walaupun dia sedar tak mungkin Amirul dapat membaca luahan perasaan dan coretan yang ditulis khas buatnya tapi dia tidak pernah jemu menulis. Untuk diluahkan tidak mungkin kerana dia tak sanggup mengguris hati insan yang disayanginya. Biarlah ditanggung segalanya dan dipendam segala kedukaan dengan harapan semuanya akan berakhir dengan episod bahagia.

Walaupun empat tahun lalu Amirul pernah melukakan hatinya dengan mendampingi insan lain namun di sudut hatinya tidak pernah berdendam apatah lagi membenci. Mungkin takdirnya ketika itu bukan untuk bersama Amirul, tetapi pertemuan yang tidak dirancang setahun lalu membibitkan kembali perasaan sayang yang tidak pernah padam buat lelaki itu. Fatin akui dia terluka dengan perbuatan Amirul namun yang dah berlalu tetapkan berlalu. Dia yakin kebahagiaan yang dicari akan dikecapi bersama Amirul. Namun sikap Amirul sejak akhir-akhir ini benar-benar mengguris perasaannya. Kesan parut luka semalam terasa pedih kembali. Mungkinkah berdarah kembali. Fatin termenung sendiri.


* * * * *
Kesibukan disebabkan tugasan yang bertimbun membuatkan Fatin terlupa sebentar pada masalah yang ditanggung. Teman-teman di sisi sentiasa memberi perangsang dan semangat menjadikan dia tabah melalui hari demi hari. Fatin juga semakin kurang bercakap dan bersama teman-teman. Dia lebih gemar menghabiskan masanya di dalam bilik. Teman-teman yang lain semakin risau melihat perubahan diri Fatin. Kalau dulu dialah penyeri suasana, bercerita itu dan ini namun kini dirasakan Fatin semakin jauh dari mereka semua. Puas sudah ditanya mengapa dirinya semakin berubah tetapi jawapan yang sering diterima oleh mereka adalah dia terlalu sibuk dengan tugasan. Situasi ini meresahkan teman-teman kerana sesibuk manapun dulu Fatin masih lagi sempat bersama teman-teman untuk menghabiskan hujung minggu. Namun mereka semua tidak mahu mendesak Fatin. Mereka yakin masalah utama Fatin adalah Amirul dan Fatin cuma perlukan masa untuk membiasakan diri dengan sikap Amirul yang semakin hari semakin memeningkan kepala.

Suatu malam yang hening, Fatin mengadu sakit kepala.

"Nadia, kau ada Panadol tak?" soal Fatin.

"Kau tak sihat ke Fatin?" soal Ayu.

"Ala..pening sikit jer.. ada panadol tak ni?" soal Fatin lagi.

"Ada tu ada.. tapi aku rasa elok kita pergi klinik. Aku tengok kau pucat semacam jer.." usul Nadia.

"Tak payahlah Nadia.. pening biasa jer ni.. penat studi.. lepas tidur nanti eloklah tu.." balas Fatin.

"Kau jangan macam ni Fatin, sejak akhir-akhir ni aku tengok kau memang lesu dan tak bermaya..jomlah kita pergi klinik." Pujuk Alia.

"Ish..tak payahlah.. haa..panadol kau tu kat mana Nadia?..Aku pergi ambik yer.." balas Fatin.

"Ada dalam laci tu" balas Nadia. Fatin berlari-lari anak menuju ke bilik Nadia.

Tiba-tiba dirasakan pandangan menjadi kelam. Dia tidak dapat mengimbangi badannya dan terjatuh berhampiran meja studi Nadia menyebabkan barang-barang di atas meja bertaburan dan berserakan. Teman-teman yang berada di ruang tamu bergegas naik ke atas untuk melihat. Terkejut mereka tatkala terlihat Fatin yang rebah di sisi katil dalam keadaan pucat lesi. Ayu memangku Fatin.

"Jom kita pergi hospital.. Lyn, kau pergi cari 'purse' Fatin dan ambik tudung dia sekali." Usul Nadia sambil mencapai tudung dan kunci kereta sementara teman-teman yang lain bersiap untuk ke hospital. Mereka mengangkat Fatin masuk ke dalam kereta sementara rakan-rakan lain yang tinggal akan memberitahu 'fellow' bertugas tentang apa yang berlaku.

Nadia memandu laju meninggalkan perkarangan kolej menuju ke hospital berdekatan. Ayu, Lyn dan Alia masih lagi diam membisu ekoran terkejut dengan apa yang terjadi.


* * * * *
Sudah dua hari Fatin terlantar di hospital tidak sedarkan diri. Seluruh ahli keluarga setia menanti sehingga Fatin sedar. Lyn memandang wajah Pn. Marini mama Fatin. Terpancar kasih sayang seorang ibu yang sabar menanti dan beralih pula kepada seraut wajah bapa yang nampak lebih tenang milik En. Fazlie walaupun hakikatnya tiada siapa yang mengerti. Seluruh keluarga dan teman-teman sentiasa berdoa agar Fatin cepat sedar dan sembuh seperti sediakala.

Lyn, Ayu dan Nadia yang baru pulang dari kelas singgah sebentar untuk melihat perkembangan teman yang disayangi. Sham dan Nita yang baru tiba kelihatan sedang berbincang sesuatu. Nita kemudian menghampiri Ayu.

"Ayu, kau dah contact Amirul?" soal Nita.

"Dah banyak kali aku cuba..tapi tak dapat jugak." Balas Ayu. Sham berjalan menghampiri mereka.

"Mana pulak perginya budak Amirul ni?" soal Sham geram.

"Entahlah Sham, dah jadi macam ni pun Amirul tu tak muncul-muncul jugak." balas Lyn.

"Amirul ni pun satu, kalau nak ke mana-mana tu bagitaulah..ini tak..mak abah dia pun tak tau mana pergi anak bongsu diaorang tu." Balas Nadia.

"Kesian aku tengok Fatin tu sejak akhir-akhir ni. Selalu jer murung, tak bermaya, tak ceria...memang lah dia ada mengadu yang Amirul tu dah lain macam tapi tak sangkalah sampai dah jadi macam ni kelibat si Amirul tu pun tak nampak." Balas Lyn.

"Aku ada jugak tanyakan kat Amirul tu pasal ni, tapi dia tu macam nak mengelak jer.. macam-macam alasan tak logik dia bagi. Malas aku nak dengar temberang dia tu." balas Sham kesal.

"Yelah..Orang lain pun sibuk jugak kan..tapi takkan sampai nak luangkan lima minit sehari tanya khabar kat telefon pun tak boleh..kalau dulu tu berjam-jam boleh pulak.." balas Ayu.

"Kalau aku tahu dia nak buat perangai macam ni, jangan harap aku nak sokong masa dia nak berbaik balik dengan Fatin hari tu. Dia ni tak serik-serik kot," balas Nita yang dari tadi mendiamkan diri. Mereka akhirnya diam membisu melayan perasaan masing-masing.

Tiba-tiba lamunan mereka dikejutkan dengan berita Fatin telah sedar. Mereka menadah tangan tanda bersyukur atas anugerah ilahi. Kedua ibu-bapa Fatin masuk bertemu Fatin dan mereka yang lain hanya menanti di luar. Mama Fatin keluar dari bilik tersebut dan menghampiri sekumpulan teman-teman Fatin yang setia menanti.

"Makcik macam mana dengan Fatin?" soal Sham.

"Alhamdulillah..dia dah sedar tapi doktor kata dia masih lemah dan perlu banyak berehat.." balas Puan Marini.

"Alhamdulillah..Fatin dah selamat..berapa lama lagi dia kena tinggal kat hospital ni?" soal Nita.

"Dalam 3-4 hari..mungkin jugak lebih.." balas Pn.Marini lagi.

"Kalau macam tu tak apalah makcik, kami mintak diri dulu.. lagipun kami ada kuliah malam ni." Usul Nadia.

"Terima kasih banyak sebab dah banyak tolong Fatin... entah macam mana makcik nak balas jasa kamu semua.." Pn. Marini bersuara sayu.

"Ish..jangan cakap macam tu makcik.. kami ni dah macam adik beradik..bukan baru sehari dua kami kenal dia.." balas Ayu.

"Nita..Sham.. terima kasih sebab ambik berat pasal Fatin.." kata Pn. Marini sambil menoleh kepada Sham dan Nita.

"Makcik, tak ada apa yang mampu kami berikan selain kasih sayang seorang sahabat. Kalau tak, apa gunanya persahabatan yang kami dah semai sejak bangku sekolah lagi," balas Nita sayu. Pn. Marini benar-benar terharu melihat keikhlasan teman-teman Fatin. Fatin, kaulah antara insan bertuah di dunia ini sebab punyai teman-teman seperti mereka. Desis hati kecil Pn. Marini. Mereka kemudiannya meminta diri untuk pulang dan bersalaman dengan seluruh ahli keluarga Fatin.

"Sampaikan salam kami pada Fatin ye makcik.." usul Lyn.

"Baiklah.. tapi sebelum makcik terlupa.. Fatin mintak tolong Ayu ambilkan diari biru dia dalam laci meja studI.." pesan Pn. Marini. Ayu angguk. Mereka kemudiannya berlalu.


* * * * *

Suatu pagi Sham terserempak dengan Amirul di sebuah gerai makan.

"Hey Mirul.. Kau pergi mana 4-5 hari ni ha?" soal Sham.

"Apasal marah-marah ni Sham..Aku 'outstation'lah.." balas Amirul.

"Kalau ye pun, takkanlah sampai 'off'kan 'handset' 24 jam. Orang nak 'contact' pun seksa dibuatnya.."balas Sham lagi.

"Laa..apa hal yang penting sangat sampai kau ribut pagi-pagi buta ni Sham?" soal Amirul selamba.

"Ha..macam mana aku tak ribut Mirul.. kalau si Fatin tu jadi arwah pun kelmarin, kau mana nak sedar..ntah ke mana asyik menghilang.." getus Sham geram.

"Apa maksud kau ni Sham.. kenapa ngan Fatin?" soal Amirul cemas.

"Dia kat hospital, dah 3 hari terlantar kat sana.. semalam baru sedar " jawab Sham acuh tak acuh.

"Aku...aku...aku pergi tengok Fatin dululah Sham..." balas Amirul sambil berlalu.

Sham hanya menggelengkan kepala dan mendengus kecil. Ternyata Amirul telah berubah.

Amirul memandu laju menuju ke hospital di mana Fatin ditempatkan. Amirul membawa sejambak bunga dan buah-buahan. Dia menghampiri Fatin yang sedang leka menulis sesuatu.

"Sayang dah lama bangun?" sapa Amirul perlahan.

"Eh..abang rupanya.. Fatin tak tidur dari subuh tadi.." balas Fatin lembut sambil menyelitkan diari biru tersebut ke bawah bantal.

"Iye ke nie?.. Boleh percaya ke sayang abang ni?" usik Amirul. Fatin tersenyum.

"Fatin tulis apa tadi sampai abang sampai pun Fatin tak sedar..cerpen terbaru ke?"soal Amirul.

"Haah..dah lama dah Fatin tulis tapi entahkan bila boleh habis.." balas Fatin.

"Kenapa?..Fatin tak ada idea ker..selalunya buah hati abang ni cepat dapat idea.." balas Amirul yang sememangnya tahu Fatin memang gemar menulis.

"Bukan tak ada idea, tapi tak tahu bila nak jumpa penghujungnya.." balas Fatin sambil tersenyum penuh erti.

"Em..tak perlah..Fatin tulis perlahan-lahan o.k.. nanti bila dah siap, boleh bagi abang baca.. macam biasalah kan.." balas Amirul sambil tersenyum dan mencuit hidung Fatin yang disayanginya. Bukan dia tak cinta pada Fatin Yusrina. Bukan dia tak sayang pada gadis yang telah mencuri hatinya sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi setiap kali kebahagiaan sedang mekar pasti ada sahaja dugaannya. Entah mengapa terasa sukar untuk memiliki gadis istimewa ini. Gadis yang telah banyak bersabar dan berkorban demi kebahagiaannya dan memberinya peluang untuk menebus kesilapan lalu. Kalau dia berada di tempat Fatin, mana mungkin dia mampu menerima kembali insan yang pernah melukai hatinya dengan mengalihkan cintanya pada orang lain. Amirul akui itulah kesilapan paling besar yang dia telah lakukan. Memilih Julia yang baru dikenali dan membelakangi Fatin yang telah lama berada di hatinya. Entah mengapa tika itu dia benar-benar terlupa pada kesetiaan, kujujuran, keikhlasan dan keteguhan cinta Fatin walhal teman-teman di sisi telah menasihati agar tidak tersilap langkah. Amirul benar-benar kesal atas apa yang terjadi dan dia bersyukur kerana Fatin masih memaafkannya dan menerimanya kembali dalam hidupnya.

Dia sedar sejak kebelakangan ini Fatin kecewa dengan sikapnya. Namun apakan daya, dia tak mampu untuk lakukan apa-apa. Hanya membisu seribu bahasa dan mendiamkan diri bila perkara ini dibangkitkan. Dia takut tindakan yang terburu-buru akan lebih mengeruhkan suasana. Amirul benar-benar tertekan dengan apa yang berlaku. Masalah di tempat kerja masih belum selesai, Julia pula muncul kembali merayu dan menagih kasihnya. Sudah puas diterangkan pada Julia bahawa cintanya hanya milik Fatin tetapi Julia mengugutnya untuk menceritakan tentang keburukannya pada Fatin terutama kisah di mana mereka hampir-hampir terlanjur suatu masa dulu. Amirul benar-benar buntu. Menerima Julia bererti dia sengaja menempah sengsara kerana dia sudah serik dengan sikap Julia yang benar-benar menyesakkan hidupnya. Menolak Julia bermakna Fatin akan mengetahui kisah silamnya sekaligus melukakan hati Fatin buat sekian kali. Dia benar-benar tak ingin melihat Fatin kecewa lagi. Cukuplah atas apa yang telah Fatin lalui disebabkan kesilapannya dulu. Dia perlukan masa untuk menyelesaikan segalanya. Dia yakin gadis pujaan hatinya ini mampu bertahan dan cukup kuat untuk menempuh segalanya buat masa ini.

Dia benar-benar menghargai pengorbanan Fatin dan tiada insan lain yang mampu menandingi Fatin Yusrina. Dia rasa bersalah kerana mengabaikan Fatin selama ini hanya kerana kehadiran Julia yang tidak diundang. Dia berjanji akan melayan Fatin dengan baik dan akan menebus kesilapannya selama ini. Dia sendiri akan berterus-terang dengan Fatin bila tiba saatnya dan kala itu dia redha dengan segala keputusan Fatin. Walaupun Fatin membencinya dia tetap akan terima kerana memang itulah hukuman yang patut diterimanya sejak dulu. Dia akur pada ketentuan Ilahi.


* * * * *

Fatin sudah sihat dan kembali ke bumi ilmuan seperti sediakala. Tiada lagi kemurungan di raut wajahnya dan Fatin telah kembali ceria seperti dulu. Teman-teman yang lain benar-benar gembira melihat perkembangan yang positif pada diri Fatin.

Pada hujung minggu ini, semua teman-teman ingin pulang ke kampung halaman. Fatin juga mengambil keputusan yang sama setelah terfikir yang dia juga telah lama tidak bertemu keluarga yang tersayang. Kebiasaannya Amirul akan menghantarnya pulang, tapi hujung minggu ini Amirul terpaksa menghadiri seminar di Perak. Jadi dia cuma menghantar Fatin ke stesen komuter setelah mereka makan tengah hari bersama-sama. Mula-mula Amirul agak keberatan untuk mengizinkan Fatin pulang sendirian kerana takut Fatin akan diserang sakit kepala secara tiba-tiba dan meminta Fatin menangguh hasratnya untuk pulang ke kampung dan pulang bersama-samanya pada minggu berikutnya. Namun setelah didesak oleh Fatin akhirnya Amirul mengalah.

"Sayang jaga diri baik-baik tau.."pesan Amirul.

"O.k..Fatin janji.."balas Fatin sambil tersenyum.

"Kirim salam pada keluarga..nanti bila dah sampai, Fatin call ye.."pesan Amirul lagi.

Fatin tersenyum lagi. Dah biasa benar dengar kata-kata Amirul yang sedemikian rupa. Fatin menghulurkan tangan untuk bersalaman. Amirul menyambut huluran tangan Fatin.

"Abang, maafkan Fatin kalau Fatin ada buat salah dan silap..halalkan makan minum Fatin yer.."kata Fatin sambil mencium tangan Amirul.

Amirul angguk dan tersenyum. Dah tahu benar dengan kebiasaan Fatin yang akan mengucapkan kata-kata sedemikan rupa di akhir pertemuan. Mula-mula dulu memang rasa janggal dan pelik bila kalimah itu dituturkan oleh Fatin, tapi sekarang ni dah biasa sangat.

"Yelah..apa salahnya Fatin minta ampun minta maaf..manalah tahu umur Fatin tak panjang.. mudah-mudahan atas kemaafan tu, tenang Fatin kat sana nanti.."dia masih ingat itulah jawapan yang Fatin berikan apabila perlakuan itu dipersoalkan.

Fatin meminta diri apabila komuter telah tiba. Amirul melepaskan genggaman tangan Fatin dengan berat hati. Entah kenapa tiba-tiba terasa sebak untuk berpisah dengan Fatin kali ini walaupun dia tahu Fatin cuma hendak pulang ke kampung. Setelah Fatin berlalu dan hilang dari pandangan barulah Amirul melangkah ke kereta dan kembali semula ke pejabatnya kerana ada mesyuarat yang perlu dihadiri.


* * * * *

Selepas mesyuarat Amirul memeriksa telefon bimbitnya. Dilihat ada 'missed calls'.

Dia terseyum apabila melihat nombor Fatin tertera di situ.

"Em.dah sampai agaknya di rumah" desis hati kecil Amirul sambil mendail semula nombor Fatin.

"Hello..Assalamualaikum.." Amirul membuka bicara.

"Waalaikumsalam.." balas suara dari sebelah sana. Amirul hairan kenapa bapa Fatin yang menjawab panggilan tersebut.

"Apa khabar pakcik?" soal Amirul.

"Khabar baik nak.. Tadi Amirul pergi mana?" soal En. Fazlie tenang.

"Ada mesyuarat tadi.. pakcik, Fatin dah sampai ?..boleh Mirul cakap dengan dia?.." soal Amirul lagi.

"Amirul..pakcik bukan tak nak bagi Mirul nak cakap dengan dia..." balas En. Fazlie lemah.

"Apa maksud pakcik..?" soal Amirul hairan.

"Bersabarlah nak..sebenarnya Fatin di timpa nahas jalanraya.. Dia dah tak ada nak..Fatin dah kembali kepada Tuhan penciptanya.." balas En. Fazlie sebak.

Amirul terduduk mendengar kata-kata En. Fazlie. Terasa gelap seluruh dunianya. Bermimpi ngerikah dia. Baru sebentar tadi Fatin tersenyum manja didepannya. Kenapa ini yang harus terjadi. Air mata seorang lelaki mengalir deras.

"Arwah di hospital mana sekarang pakcik?" soal Amirul tersedu-sedu.

"Seremban nak.."balas En. Fazlie lagi. Amirul mengucapkan terima kasih dan kemudiannya menghubungi keluarganya serta teman-teman lain bagi mengkhabarkan berita duka ini. Keluarganya menasihatinya agar banyak bersabar dan mereka sendiri akan menyusul ke kampung Fatin. Ayu, Lyn, Alia dan teman-teman yang lain menangis tersedu-sedu. Nita yang pada awalnya tak percaya akhirnya meratap pilu dan dipujuk oleh Sham walaupun Sham sendiri bagai tak percaya apa yang berlaku. Pada Shah yang berada jauh di utara juga dikhabarkan berita duka ini. Amirul menuju ke surau berhampiran dan mengangkat wuduk serta menunaikan solat sunat dua rakaat. Dia memohon ketenangan dan berdoa agar Fatin akan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Amirul kemudian memandu laju meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Seremban. Segala urusan ditangguhkan. Sepanjang perjalanan hatinya meratap pilu dan air mata pun berguguran. Segala kenangan bersama-sama Fatin muncul satu persatu. Amirul meratap hiba mengenangkan apa yang terjadi.


* * * * *

Diari biru peninggalan Fatin diselak lagi. Diari biru itu diserahkan oleh mama Fatin selepas jenazah Fatin telah selamat dikembumikan. Coretan demi coretan dan luahan rasa seorang insan bernama Fatin Yusrina ditatap. Agaknya inilah yang dikatakan oleh Fatin cerpen yang masih tiada penghujungnya suatu masa dulu. Dan kini yang tinggal hanyalah penghujung yang hanya memberi seribu kedukaan. Penghujung yang menyaksikan dia telah kehilangan Fatin buat selama-lamanya. Penghujung yang meninggalkan kesan abadi. Air mata Amirul tumpah lagi apabila bait-bait kata itu dibacanya.

Abang,
Bagaimana keadaan abang hari ini?..Fatin harap abang sihat..Fatin di sini macam biasa.. Abang nak tahu tak, Fatin benar-benar rasa bahagia kerana dipertemukan dengan abang. Fatin bahagia di atas limpahan kasih sayang abang buat diri Fatin. Kalau empat tahun dulu kita pernah terpisah, tak bemakna cinta Fatin telah padam buat abang cuma tika itu Fatin terpaksa menerima kenyataan yang abang bukan milik Fatin. Fatin harus tabah menerima kenyataan walaupun hati Fatin benar-benar terluka. Namun dendam tidak pernah wujud di hati Fatin. Dan kini dengan izin Tuhan kita bersama kembali menjalin ikatan. Semoga kali ini kebahagiaan abadi kan jadi milik Fatin.

Amirul menyelak lagi helaian diari berwarna biru tersebut.

Abang,
Terima kasih atas segalanya. Walaupun Fatin tahu mana mungkin abang membaca luahan hati Fatin di dalam diari bisu ini selagi hayat Fatin di kandung badan tapi Fatin cuma nak abang tahu yang Fatin benar-benar cintakan abang. Fatin berjanji akan menjadi seorang teman, sahabat dan isteri yang baik suatu masa nanti. Fatin akan sentiasa di sisi abang walau susah dan senang. Fatin nak kongsi segalanya dengan abang. Percayalah pada Fatin.

Air mata Amirul mengalir lagi. Tak dapat dibendung kesedihannya. Ingin sekali waktu ini dia melutut memohon keampunan atas segala kekecewaan dan kelukaan yang telah diberikan buat Fatin Yusrina. Sungguh tulus cintamu Fatin. Matanya terhenti pada coretan bertarikh 4 Februari 2000.

Abang,
Genap setahun kita sambung ikatan yang pernah terlerai suatu masa dulu. Dan sudah hampir dua bulan abang seolah-olah menjauhkan diri dari Fatin. Kenapa sejak akhir-akhir ini kasih abang semakin berubah?.. Tiada lagi gurau senda dan tawa mesra. Mana perginya nur kasih yang menyuluh jiwa Fatin selama ini?.. Mana perginya abang?..

Abang,
Fatinkah yang bersalah dalam hal ini?.. kalau benar Fatin yang bersalah mengapa abang takberterus- terang? Kenapa dera perasaan Fatin atau sudah berubahkah kasih abang buat Fatin. Berterus-teranglah abang..tak sanggup lagi Fatin bermain di dalam teka-teki. Puas sudah Fatin merayu pada abang tapi jawapan abang benar-benar mengecewakan Fatin. Abang kata Fatin dah mula pandai mendesak. Salahkah Fatin mengambil berat pada insan yang Fatin cintai sepenuh hati..dan salahkan Fatin untuk mengetahui kedudukan sebenarnya. Kita pernah berjanji untuk susah dan senang bersama. Mana janji-janji abang? Katakanlah abang..mengapa abang terus membisu.

Abang,
Sejak akhir-akhir ini abang banyak berubah. Kadangkala terdetik di hati Fatin, benarkah abang menyintai Fatin ataupun sekadar ingin menebus kesilapan lalu dan mungkinkah diri Fatin ini cuma persinggahan buat abang. Bertahun lamanya Fatin cuba balut luka di hati Fatin tanpa kehadiran abang. Kehadiran abang buat kali kedua tatkala luka di hati hanya tinggal parut. Tegakah abang lukakan kembali parut yang telah Fatin rawat untuk sekian lama. Abang, bukan wang ringgit yang Fatin impikan dari abang cuma limpahan kasihsayang buat Fatin bagi memberi kekuatan untuk Fatin tempuhi hari mendatang dan meneruskan perjalanan hidup ini.

Sham, Nita, Shah,
Akukah yang tersilap kerana memberinya peluang kedua sehinggakan luka lama yang kini cuma tinggal parut terasa pedih kembali. Mungkinkah luka lama yang kalian rawat dengan kasih sayang yang mengambil masa bertahun lamanya untuk sembuh akan berdarah kembali..Aku sendiri kurang pasti. Namun jauh di sudut hati, aku berharap dia akan kembali merawat kepedihan yang makin terasa di hati ini. Bodohkah aku kerana masih menaruh harapan yang terlalu tinggi setelah apa yang telah terjadi.. tapi apa yang aku pasti, aku benar-benar menyintainya..

Abang,
Apa lagi yang perlu Fatin lakukan agar keadaan kembali seperti sediakala. Fatin benar-benar buntu. Ingin rasanya Fatin lari jauh dari kemelut ini. Sudah penat rasanya memikirkan persoalan hati dan perasaan yang tiada kesudahannya. Entah bilakah kan Fatin menemui kebahagiaan abadi. Sampai bila Fatin mampu bertahan dan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku sedangkan hati Fatin ini sudah cukup pedih atas apa yang terjadi. Maafkan Fatin abang. Izinkan Fatin undur diri kiranya Fatin tak diperlukan lagi dalam hidup abang. Sebelum pedih di hati melarat menjadi luka parah, izinkan Fatin mencari sebuah kebahagiaan yang abadi. Biarlah masa yang menentukan penghujung cerita cinta kita. Usahlah dikesali perpisahan ini sekiranya ia adalah penghujung cerita cinta kita seperti mana penghujungnya coretan Fatin ini. Cukup sudah hati ini terluka.. Fatin tak sanggup lagi terluka kerana Fatin tak berdaya merawatnya lagi sekiranya ia terjadi buat kali kedua.. Perginya Fatin bukan kerana membenci tapi demi mencari sebuah cinta abadi.. Maafkan Fatin..Namun percayalah..jiwa dan cinta Fatin hanya milik abang..Nama abang telah Fatin ukir indah di sudut hati ..dan ia tak akan terpadam sampai bila-bila..You'll always be in my heart.

Salam sayang,
FatinYusrina
4/2/2000


Air mata Amirul mengalir deras. Sungguh tak disangka perbuatannya selama ini benar-benar melukakan hati Fatin. Dia terlalu mementingkan dirinya sendiri sehinggakan dia terlupa walaupun Fatin Yusrina yang pada zahirnya kelihatan cekal dan tabah hanyalah perempuan biasa yang punya hati dan perasaan. Insan biasa yang memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang dari insan yang amat dicintainya. Dan atas kealpaan itu dia telah mengabaikan tanggungjawabnya pada Fatin dan membiarkan Fatin menempuhnya keseorangan. Walaupun segunung kesalan yang bermain di benaknya tak mungkin dia dapat menebus kembali segala kekecewaan Fatin. Amirul benar-benar terkilan.

Walaupun sudah enam bulan Fatin meninggalkan dirinya, setiap kali menatap diari biru berbunga putih ini hatinya pasti terusik kerana cintanya pada Fatin juga tak pernah padam. Insan seistimewa Fatin tak mungkin ditemuinya lagi. Pintu hatinya juga telah ditutup rapat. Tiada lagi ruang untuk insan lain bertakhta walaupun sudah puas dipujuk oleh keluarga dan teman-teman. Biarlah masa menentukan segalanya. Dan sehingga hari ini Amirul masih lagi menjadi pengunjung setia Fatin walaupun dia sedar yang tinggal kini hanyalah nisan dan jasad yang telah dimakan usia. Hasil laporan kesihatan yang baru diterimanya minggu lepas telah mengukuhkan lagi keyakinan bahawa dia tidak perlu lagi berulang-alik untuk mengunjungi Fatin kerana dia akan menjadi peneman setia Fatin tidak lama lagi. Digulung kembali tikar yang telah digunakan tadi dan jug jernih itu dicapai. Dia melihat jam di tangan, nampaknya sudah lama dia berteleku di situ dan akhirnya dia melangkah pergi meninggalkan tanah perkuburan itu.

Fatin Yusrina. Maafkan abang, abang perlu pergi dulu buat masa ini.. percayalah, abang akan datang kembali.. Dan tika itu abang tak perlu lagi melangkah pergi meninggalkan Fatin sendirian. Abang akan sentiasa berada di sisi Fatin sampai bila-bila. Abang juga nak Fatin tahu yang abang juga menyintai Fatin sehingga akhir hayat abang..

Air mata dimalam pertama..



Hatiku bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan. Terlalu sukar untuk kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara duduk mengelilingiku sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang berhadapan dengan bapaku serta tuan imam.

Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernah ku kenali pilihan keluarga. Aku pasrah.
Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu.
"Ana dah jadi isteri! " Bisik sepupuku sewaktu aku menadah tangan. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi tanggungjawab suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada suamiku tatkala ijab kabul.

"Ya Allah! Bahagiakanlah hidup kami. Kurniakanlah kami zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan penyeri hidup kami nanti."Doaku perlahan.
Aku bertafakur sejenak. Memikirkan statusku sekarang. Aku suadh bergelar isteri. Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu aku tunaikan pada suamiku dan pada keluarga yang aku dan suamiku bina nanti.

"Mampukah aku memikul tanggungjawab ini nanti"Tiba-tiba sahaja soalan itu berdetik di hati.
Kadang-kadang aku rasakan seolah-olah aku tidak dapat melaksanakan tanggungjawab seorang isteri terhadap suami.

"Assalamualaikum!" Sapa suatu suara yang mematikan tafakur tadi. Baru aku perasan, seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapanku. Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku melihat kakinya.

Sanak saudara yang tadi bersama-samaku, kini membukakan ruang buat lelaki itu mendekatiku. Aku tambah gementar bila dibiarkan sendirian begini. Tanpa kusangka, dia duduk menghadapku.
"Sayang"..Serunya perlahan. Suaranya itu seolah membelai dan memujuk jiwaku supaya melihat wajahnya.

Aku memaksa diriku untuk mengangkat muka, melihat wajahnya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kiriku, lalu disarungkan sebentuk cincin emas bertatahkan zamrud kejari manisku.
"Abang".. Seruku perlahan sambil bersalam dan mencium tangan lelaki itu yang telah sah menjadi suamiku.
"Ana serahkan diri Ana dan seluruh kehidupan Ana kepangkuan abang. Ana harap, abang akan terima Ana seadanya ini seikhlas hati abang.."Bisikku perlahan. " Kita akan sama-sama melayari hidup ini dan akan kita bina keluarga yang bahagia." Janjinya padaku.

Itulah kali pertama aku menemui suamiku itu. Aku tidak pernah melihatnya selain daripada sekeping foto yang telah diberikan emak kepadaku.
Kenduri perkahwinan kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun meriah dengan kehadiran sanak saudara terdekat dan sahabat handai yang rapat. Senang sikit, tak payah berpenat lelah. Sibuk juga aku dan suamiku melayani para tetamu yang hadir ke majlis itu.
Ramai juga teman-teman suamiku yang datang. Mereka mengucapkan tahniah buat kami berdua. Tak sangka, suamiku punyai ramai kawan. Katanya, kawan-kawan sejak dari universiti lagi.
Pada pandanganku, suamiku itu memang seorang yang segak. Berbaju melayu putih sepasang serta bersampin. Aku juga memakai baju pengantin putih. Kami dah berpakat begitu.

Aku selalu berdoa pada Tuhan agar Dia kurniakan padaku seorang suami yang dapat membimbing dan menunjukkan aku jalan ketuhanan. Mengasihi aku sebagai seorang isteri. Tidak kuminta harta mahupun pangkat, cukuplah sekadar aku bahagia bersamanya dan dia juga bahagia denganku. Aku juga sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang dapat membahagiakan kami.
"Ana, ada perkara penting yang mak dan ayah nak bincangkan dengan Ana".Ayah memulakan mukadimah bicaranya di suatu petang sewaktu kami minum petang di halaman rumah. Mak hanya diam memerhatikan aku, membiarkan ayah yang memulkan bicaranya.

"Apa dia ayah, mak? Macam penting je" Soalku tanpa menaruh sebarang syak wasangka.
"Sebenarnya, kami telah menerima satu pinangan bagi pihak Ana."
"Apa!!!"Pengkhabaran begitu membuatkan aku benar-benar terkejut. Aku masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia begini. Aku mahu mengejar cita-citaku terlebih dahulu. Aku tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab sebagai seorang isteri.
"Kenapa ayah dan mak tak bincang dengan Ana dulu?" Soalku agak kecewa dengan keputusan mak dan ayah yang membelakangi aku. Sepatutnya mereka berbincang denganku terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang bakal mencorakkan masa depanku.

"Kami tahu apa jawapan yang akan Ana berikan sekiranya kami membincangkan perkara ini dengan Ana. Pastinya Ana akan mengatakan bahawa Ana masih belum bersedia. Sampai bilakah Ana akan berterusan begitu?"Ayah mengemukakan alasannya bertindak demikian.

"Sebagai orang tua, kami amat berharap agar anak kesayangan kami akan mendapat seorang suami yang boleh melindungi dan membimbing Ana. "Ujar mak setelah sekian lama membisu.
"Apakah Ana fikir mak dan ayah akan duduk senang melihat anak gadisnya berterusan hidup sendirian tanpa penjagaan dari seorang suami? Kami bukan nak lepaskan tanggungjawab kami sebagai orang tua, tapi itulah tanggungjawab orang tua mencarikan seorang suami yang baik untuk anak gadisnya."Terang ayah lagi.
"Ana.." Seru ayah setelah dia melihat aku mendiamkan diri, menahan rasa.
"Percayalah, kami membuat keputusan ini adalah untuk kebaikan Ana sebab kami terlalu sayangkan Ana.";

"Ini cincinnya, pakailah." Mak meletakkan satu kotak kecil berbaldu di hadapanku. Perasaanku berbaur. Macam-macam yang datang. Berbelah bagi. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Sekiranya aku menerima dan bersetuju dengan keputusan mak dan ayah itu, bermakna aku telah membiarkan cita-citaku semakin kabur dan berbalam di hadapan. Namun kiranya aku menolak, bermakna aku telah melukakan hati kedua-dua orang tuaku itu. Orang tua yang telah banyak berjasa dalam hidupku. Tanpa mereka berdua, aku takkan hadir dan mustahil untuk melihat dunia ini.
"Ahhhhgggg..."Keluhku sendirian. Aku dalam dilemma. Yang manakah patut aku utamakan? Perasaan sendiri atau perasaan dan harapan mak dan ayah. Aku selalu tewas bila melibatkan perasaan mak dan ayah. Aku terlalu takut untuk melukakan hati mereka. Aku takut hidupku nanti tidak diberkati Tuhan.

Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni.

"Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu." Ujar ayah padaku.
Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah saru agenda yang tidak boleh dilupakan.
Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air. Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik.

Selesai je iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam. Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu. Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu.

Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam.
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami."

"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin."
Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman. aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan.
"Bang, maafkan Ana!" Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya. Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus.
"Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang."Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku.
Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah.

"Abang nak kemana tu?"Soalku.
"Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi."Jawabnya.
"Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi."Aku kesian melihatnya, keletihan.
"Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah." Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu.

"Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya." Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah.

Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja.
"Bila Ana turun?" Soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja.
" Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang."
"Maafkan abang sayang." Dia menghampiriku.
"Sayang tak marahkan?" Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat.

Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku.
"Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita." Rungkutku tersipu-sipu. Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku.
"Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang."Jawabnya tersenyum.
"Tau la, tapi tengok la keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi."
"Betul ni?"Soal suamiku cepat-cepat.
"Ish..;gatal la abang ni!" Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku.

Aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi. Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu. Dan pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri.

Walaupun begitu,masih ada sedikit rasa takut di hatiku. Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku.

"Apa yang Ana menungkan ni?"Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang.
"Abang ni, terkejut Ana tau!" Aku buat-buat merajuk. Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk.

"Alaa..sayang ni.macam tu pun nak marah." Usiknya sambil mencubit pipiku.
"Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!" Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu. Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku.
"Sayang..." Seru suamiku sambil merangkul tubuhku.

"Sayang nak honeymoon kemana?" Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu. Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu.
"Ana ikut aje kemana abang nak bawa."
"Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?" Guraunya.
"Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?" Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa.
"Nanti sayang nak berapa orang anak?" Soalnya lagi setelah ketawanya reda.
"Abang nak berapa?" Soalku kembali tanpa menjawab soalannya.
"Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?"

"Ish...abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?" Sekali lagi suamiku ketawa. Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa.
"Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan."
"Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup." Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira.
"Ni yang buat abang tambah sayang ni." Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku.
Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang. Aku rasa dilindungi.

"Zul, Ana! Jom kita makan dulu!" Suara mak memanggil.
"Mari bang! Ana pun dah lapar ni." Ajakku sambil memimpin tangannya. Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam.
Rasa lapar la juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan. Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik.

Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku. Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukanali. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup. Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri. Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan. Apataha lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

"Mampukah akau menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu? Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?" Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku. Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.

"Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku."
"Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan.
Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari. Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti?
Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.

"Masuklah, pintu tak berkunci." Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku.
Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan. Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku.
" Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?" Aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku.

Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu.
"Habistu apa yang sayang menungkan ni?"
Ana takut bang!" Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya.
Dia memelukku erat sambil membelai rambutku.
" Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan Bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita." Pujuk suamiku.
" Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut.." Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku. Terkebil-kebil mataku memandangnya.
…………………………………….

" Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang! " Bisiknya.
Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku.

" Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit." Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang.
Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air. Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai.
Malam berark perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang. Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.

"Ayah, mak! Ana dah buat keputusan." Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari.

Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri.
" Keputusan tentang apa?" Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat.
" Pasal peminangan tu." Ujarku.
Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu. Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku.
" Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih." Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya. Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari.

Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu. Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini? Hanya emak yang tahu hakikatnya.
" Syukurlah, moga Ana bahagia nanti." Ucap ayah padaku.
Aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis. Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku.

"Nanti mak kenalkan dia pada Ana." Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka.
" Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje." Aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku. Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat.

" Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya." Ayah mempersoalkan keputusanku itu.
" Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?" Aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.
Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku.

" Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah." Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan.
" Baik bang. Bang, ni baju abang." Ujarku sambil bangun untuk ke dapur.
Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi.
" Patutlah." Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang.
Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik.

Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan.
Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah. Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya.
Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa. Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.

"Bang...."Seruku.
"Ada apa sayang?" Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya.
"Malam ni abang nak.....nak....."Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu. Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya... " Nak apa sayang?" Soalnya lagi sambil tersenyum.
"Ah..abang ni..."Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku.
"Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?" Bisiknya ketelingaku.

Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.

"Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!" Bisik suamiku.
" Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia." Jawabku.
Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul.

Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama lading dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku. Aku cuba untuk memperaktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah bersabda:
"Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada."
Rasulullah bersabda:
"Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu."
Rasulullah bersabda:
"Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."

Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu."
Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya. Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu. Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya. Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu. Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti. Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang.

Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini. Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah. Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya.
"Abang tak apa-apa?" Soalku risau dengan keadaannya. Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui.
"Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot."Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam.
"Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu." Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pajama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu.
"Nakallah abang ni." Aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar.

Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat. Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam.
Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu.
Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku. Aku lihat muka suamiku agak kepucatan.
"Kenapa ni bang?" Soalku sewaktu bersalaman dengannya.
" Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni.."
"Zul sakit ke?" Tanya ayah.
"Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca kot."Jawabnya.
"Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak." Sampuk mak.
"Nanti Ana ambilkan ubat." Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat.

Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku. Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air.
Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk. Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan.
"Terima kasih." Ucapnya perlahan. Aku angguk.
"Abang berehatlah." Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam.
"Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang."
" Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah."
"Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan."
"Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah."Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya.
"Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan saying. Sayanglah satu-satunya buah hati abang." Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja.
Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah darimana ia berputik.
"Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang yea"
"Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya." Ujarnya perlahan.
"Abang tidurlah." Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya. Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu.

Aku memerhatikan suamiku buat seketika. Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku. Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga. Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat.

Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi. Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang. Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu. Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku.
Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya. Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk. Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap! Air mataku terus je mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami. Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu. Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.
" Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana." Pujuk emak.
Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil. Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini. Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjengok dunia ini. Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku.
Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku.